Kucing Tak Nak Makan? Mengapa & Tips Mengatasinya

 

Makan dan minum merupakan salah satu perkara yang penting bagi memastikan kelangsungan hidup. Tidak kira manusia atau haiwan, ia memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan.

Namun, bagaimana sekiranya kucing anda menunjukkan perangai enggan makan. Jika dibiarkan masa yang lama, ia boleh melibatkan kesihatan dan boleh menjejaskan nyawa. 

Dalam artikel ini, KASIH akan kongsikan mengapa perkara ini berlaku dan apakah tips mengatasinya.

 

Sebab kucing enggan makan

Sebenarnya, terdapat beberapa sebab kucing enggan makan. Antaranya ialah seperti berikut:

Masalah mulut dan gigi 

Sama seperti manusia, masalah mulut dan gigi juga mendatangkan rasa sakit dan sangat tidak selesa. Keadaan ini  menyebabkan proses makan dan mengunyah terganggu dan kucing anda enggan makan.

Bukan sahaja penyakit dan jangkitan, keadaan mulut yang cedera seperti gusi bengkak, gigi patah dan sebagainya juga boleh menyebabkan kucing anda menolak untuk makan.

Masalah sistem penghadaman 

Sesetengah penyakit dan masalah penghadaman juga boleh menyebabkan kucing anda hilang selera makan.  Contohnya seperti parasit, colitis, gastroenteritis, atau kanser.

 Bukan itu sahaja, masalah cacing kucing yang teruk juga boleh menyebabkan rasa tidak selesa pada perut dan seterusnya menyebabkan kucing hilang selera makan.

 

Masalah pernafasan

Tahukah anda, kucing memilih makanannya berdasarkan bau. Apabila mereka mengalami masalah pernafasan, ia boleh menyebabkan kucing hilang deria bau dan mengganggu selera makan mereka

Penyakit buah pinggang 

Biasanya, ia berlaku kepada kucing tua. Penyakit ini boleh menyebabkan simptom seperti kucing tak nak makan dan muntah-muntah.

Baru sahaja mendapat vaksin atau makan ubat-ubatan

Kucing tak nak makan selepas vaksin? Perkara ini mungkin salah satu kesan sampingan vaksin dan ubat-ubatan ini kepada kucing anda. Namun, biasanya ia hanya akan berlaku buat tempoh masa yang sementara

 

Kucing berada dalam keadaan stres atau murung

Seterusnya, kucing sangat sensitif terhadap perubahan rutin mereka. Apabila berlaku perubahan besar dalam rutin kucing yang biasa atau berpindah rumah ia boleh menyebabkan mereka berada dalam keadaan yang stres, murung dan seterusnya menolak untuk makan.

Kucing sudah kenyang

Kadang-kadang, jawapan mengapa kucing anda enggan makan cukup mudah. Mungkin hanya kerana mereka sudah kenyang. Bagi kucing yang tinggal di luar rumah teritamanya tidak dimandulkan, mereka akan berjalan lebih jauh dari rumah.

Dalam perjalanan itu, mereka mungkin sudah makan makanan yang berada di tepi jalan atau sepanjang perjalanan mereka.

Berapa lama kucing boleh hidup tanpa makanan

Secara puratanya, kucing boleh bertahan tanpa makanan tetapi minum selama seminggu hingga dua minggu. Bagaimana pula jika kucing tak nak makan dan minum? Mereka hanya boleh bertahan sehingga tiga hari.

Walaupun kucing tidak makan hanya selama dua hari, mereka mungkin kekurangan zat dan seterusnya  sakit serta memerlukan rawatan veterinar dengan segera.

Apa yang akan berlaku sekiranya kucing tidak makan buat masa yang lama

Seperti manusia, kucing memerlukan nutrien untuk menjalani kehidupan seharian mereka. Apabila kucing berhenti untuk makan atau mereka makan makanan yang tidak mempunyai protein yang secukupnya, ia akan menyebabkan mereka mengalami kegagalan hati yang boleh membawa maut jika tidak dirawat.

Proses kegagalan hati ini boleh berlaku dengan sangat cepat bagi kucing malah jika kucing dalam keadaan kelaparan yang berterusan, mereka juga akan mengalami kegagalan organ yang lain pula dan akhirnya membawa maut.

Cara merawat kucing tak nak makan

Rawatan yang perlu diberikan kepada kucing ini sebenarnya bergantung kepada punca mereka enggan makan, jom kita lihat beberapa pilihan yang anda boleh cuba:

1.Tentukan apakah tabiat makan bagi kucing anda

Biasanya, bagi kucing mereka juga mempunyai tabiat makan yang sangat unik. Ada kucing yang gemar untuk makan beramai-ramai dan ada yang memilih untuk makan berseorangan. 

Bagi mewujudkan persekitaran yang selesa bagi kucing anda makan, cuba perhatikan apakah tabiat makan kucing anda. Kucing yang gemarkan waktu makan bersama peneman, akan merasa selesa makan sambil ditemani anda yang membelainya.

Bagi cara ini, anda boleh meletakkan bekas makanan di beberapa tempat dan lihat di mana mereka lebih memilih untuk makan. Adakah tempat yang tersorok atau tempat yang mungkin ramai dengan ahli keluarga.

2. Letakkan bekas makanan di lokasi yang berbeza

Bagi membantu kucing anda untuk makan semula, cuba letakkan bekas makanan di lokasi yang berbeza. Sebagai pemilik, kita tidak akan selalu ada sekiranya mereka mula ingin makan.

Oleh itu, dengan meletakkan makanan di lokasi yang berbeza, ia bukan sahaja membantu mereka mempunyai lebih banyak pilihan untuk makan. Malah, sekiranya berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan di salah satu lokasi, mereka masih mempunyai pilihan lokasi yang lain.

3. Pilih bekas makanan yang sesuai

Disebabkan kucing merupakan haiwan yang sangat sensitif, anda juga perlu memilih bekas makanan yang sesuai bagi mereka. Elakkan memberi makanan di dalam bekas makanan yang terlalu sempit atau tidak tahan lama.

4. Cuba tentukan cara yang berbeza bagi memberikan makanan

Jika perlu, ubah jadual dan cara yang berbeza untuk memberikan makanan. Anda boleh mencuba memberikan makanan di dalam kuantiti yang kecil tetapi lebih kerap. Ia bukan sahaja membantu makanan untuk kekal segar, tetapi membantu membentuk pola pemakanan kucing anda semula.

Selain itu, jika perlu, cuba beri makanan daripada tangan anda. Ya, kadang-kadang ada kucing yang mungkin hanya ingin bermanja atau inginkan perhatian akan berselera jika anda memberikan mereka makanan daripada tangan anda.

5. Dapatkan rawatan veterinar

Jika semua cara ini gagal memujuk untuk kucing anda makan, cuba dapatkan rawatan veterinar dengan segera. Pihak veterinar akan mencari punca sebenar kucing anda enggan makan terutamanya jika disebabkan penyakit.

Malah, jika kucing anda berada dalam keadaan kelaparan atau menunjukkan tanda-tanda sakit yang teruk, mungkin pihak veterinar akan mengesyorkan anda memberikan makanan atau susu melalui tiub makanan.

Kesimpulan

Pastinya sangat sukar jika si comel ini yang sebelumnya baik-baik sahaja, tiba-tiba enggan makan dan kesihatannya merosot. Namun, KASIH percaya dengan semangat dan usaha yang beterusan daripada anda sebagai pihak pemilik kucing, mereka pasti akan kembali ceria dan kembali seperti dulu. 

 

BANTU KAMI  MENYUMBANG MAKANAN PADA HAIWAN KUCING JALANAN KLIK SINI

Sila Ikuti kami di Saluran di bawah

Scroll to Top